Khamis, 25 Februari 2010

Kisah Tauladan Buat Kita


Kisah Rasulullah sebagai pengajaran


1) Kalau ada pakaian yang koyak, Rasulullah menampalnya sendiri tanpa
perlu menyuruh isterinya. Beliau juga memerah susu kambing untuk keperluan
keluarga mahupun untuk dijual.

2) Setiap kali pulang ke rumah, bila dilihat tiada makanan yang sudah siap
di masak untuk dimakan, sambil tersenyum baginda menyinsing lengan bajunya
untuk membantu isterinya di dapur. Sayidatina 'Aisyah menceritakan "Kalau
Nabi berada di rumah, beliau selalu membantu urusan rumahtangga.

3) Jika mendengar azan, beliau cepat-cepat berangkat ke masjid, dan
cepat-cepat pula kembali sesudah selesai sembahyang."

4) Pernah baginda pulang pada waktu pagi. Tentulah baginda amat lapar
waktu itu.. Tetapi dilihatnya tiada apa pun yang ada untuk sarapan. Yang
mentah pun tidak ada kerana Sayidatina 'Aisyah belum ke pasar.
Maka Nabi bertanya, "Belum ada sarapan ya Khumaira?" (Khumaira adalah
panggilan mesra untuk Sayidatina 'Aisyah yang bererti 'Wahai yang
kemerah-merahan')
Aisyah menjawab dengan agak serba salah, "Belum ada apa-apa wahai
Rasulullah."
Rasulullah lantas berkata, "Jika begitu aku puasa saja hari
ini." tanpa sedikit tergambar rasa kesal di wajahnya.

5) Sebaliknya baginda sangat marah tatkala melihat seorang suami
memukulisterinya. Rasulullah menegur, "Mengapa engkau memukul isterimu?"
Lantas soalan itu dijawab dengan agak gementar, "Isteriku sangat keras
kepala. Sudah diberi nasihat dia tetap degil, jadi aku pukul dia."
"Aku tidak bertanya alasanmu," sahut Nabi s.. a. w. "Aku menanyakan mengapa
engkau memukul teman tidurmu dan ibu kepada anak-anakmu?"

6) Pernah baginda bersabda, "sebaik-baik lelaki adalah yang paling baik
dan lemah lembut terhadap isterinya." Prihatin, sabar dan tawadhuknya
baginda dalam menjadi ketua keluarga langsung tidak sedikitpun menjejaskan
kedudukannya sebagai pemimpin umat.

7) Pada suatu ketika baginda menjadi imam solat. Dilihat oleh para
sahabat,pergerakan baginda antara satu rukun ke satu rukun yang lain amat
sukar sekali.
Dan mereka mendengar bunyi menggerutup seolah-olah sendi-sendi
pada tubuh baginda yang mulia itu bergeser antara satu sama lain. Sayidina
Umar yang tidak tahan melihat keadaan baginda itu langsung bertanya setelah
selesai bersembahyang,

"Ya Rasulullah, kami melihat seolah-olah tuan menanggung penderitaan yang
amat berat, tuan sakitkah ya Rasulullah?"
"Tidak, ya Umar. Alhamdulillah, aku sihat dan segar."

"Ya Rasulullah...mengapa setiap kali tuan menggerakkan tubuh, kami
mendengar seolah-olah sendi bergeselan di tubuh tuan? Kami yakin engkau
sedang sakit..." desak Umar penuh cemas.

Akhirnya Rasulullah mengangkat jubahnya. Para sahabat amat terkejut. Perut
baginda yang kempis, kelihatan dililiti sehelai kain yang berisi batu
kerikil, buat menahan rasa lapar.
Batu-batu kecil itulah yang menimbulkan bunyi-bunyi halus setiap kali
bergeraknya tubuh baginda.

"Ya Rasulullah! Adakah bila tuan menyatakan lapar dan tidak punya makanan
kami tidak akan mendapatkannya buat tuan?"
Lalu baginda menjawab dengan lembut, "Tidak para sahabatku. Aku tahu, apa
pun akan engkau korbankan demi Rasulmu. Tetapi apakah akan aku jawab di
hadapan ALLAH nanti, apabila aku sebagai pemimpin, menjadi beban kepada
umatnya?" "Biarlah kelaparan ini
sebagai hadiah ALLAH buatku, agar umatku kelak tidak ada yang kelaparan di
dunia ini lebih-lebih lagi tiada yang kelaparan di Akhirat kelak."

8) Baginda pernah tanpa rasa canggung sedikitpun makan di sebelah seorang
tua yang penuh kudis, miskin dan kotor.

9) Hanya diam dan bersabar bila kain rida'nya direntap dengan kasar oleh
seorang Arab Badwi hingga berbekas merah di lehernya. Dan dengan penuh rasa
kehambaan baginda membasuh tempat yang dikencing si Badwi di dalam masjid
sebelum menegur dengan lembut perbuatan itu.

10) Kecintaannya yang tinggi terhadap ALLAH swt dan rasa kehambaan yang
sudah sebati dalam diri Rasulullah saw menolak sama sekali rasa ke tuanan.

11) Seolah-olah anugerah kemuliaan dari ALLAH langsung tidak dijadikan
sebab untuknya merasa lebih dari yang lain, ketika di depan ramai mahupun
dalam keseorangan.

12) Pintu Syurga telah terbuka seluas-luasnya untuk baginda, baginda
masih lagi berdiri di waktu-waktu sepi malam hari, terus-menerus beribadah
hinggakan pernah baginda terjatuh lantaran kakinya sudah bengkak-bengkak.

13) Fizikalnya sudah tidak mampu menanggung kemahuan jiwanya yang
tinggi.Bila ditanya oleh Sayidatina 'Aisyah, "Ya Rasulullah, bukankah
engaku telah dijamin Syurga? Mengapa engkau masih bersusah payah begini?"
Jawab baginda dengan lunak, "Ya 'Aisyah, bukankah aku ini hanyalah seorang
hamba? Sesungguhnya aku ingin menjadi hamba-Nya yang bersyukur."

Rasulullah s. a. w. bersabda,"SAMPAIKANLAH PESANKU WALAUPUN SEPOTONG
AYAT.."

Rabu, 24 Februari 2010

Layak ke kita ni?


Saudaraku, Islam sampai kepada kita saat ini tidak lain berkat jasa Baginda Rasulullah Muhammad SAW sebagai penyampai risalah Allah SWT yang benar dan di redhai. Dan nanti di padang mahsyar, setiap umat islam pasti akan meminta syafa’at dari beliau SAW dan menginginkan berada di barisan beliau SAW. Namun, pengakuan tidaklah cukup sekadar pengakuan. Pasti yang mengaku umat beliau SAW akan berusaha mengikuti jejak beliau dengan jalan mengikuti sunnah-sunnah beliau dan senantiasa membasahi bibir ini dengan mendoakan beliau dengan cara memperbanyak bersalawat kepada beliau SAW.

Sejarah tak akan mampu mengingkari betapa indahnya akhlak dan budi pekerti Rasulullah tercinta, Muhammad SAW hingga salah seorang isteri beliau, Sayyidatina A’isyah RAD mengatakan bahwa akhlak Rasulullah adalah “Al-Qur’an”. Tidak satu perkataan Rasulullah merupakan implementasi dari hawa nafsu beliau, melainkan adalah berasal dari wahyu Ilahi. Begitu halus dan lembutnya perilaku keseharian beliau. Rasulullah SAW adalah agung dengan sifat tawadhu’ yang tiada tandingnya.

Beliau pernah menjahit sendiri pakaiannya yang koyak tanpa harus menyuruh isterinya. Dalam berkeluarga, beliau adalah seorang yang ringan tangan dan tidak segan-segan untuk membantu pekerjaan isterinya di dapur. Selain itu dikisahkan bahawa beliau tiada merasa canggung atau kekok untuk makan disamping seorang tua yang penuh kudis, kotor lagi miskin. Beliau adalah seorang yang paling sabar dimana ketika itu pernah kain beliau ditarik oleh seorang badui hingga berbekas merah dilehernya, namun beliau hanya diam dan tidak marah.

Dalam satu riwayat dikisahkan bahwa ketika beliau mengimami solat berjemaah, para sahabat mendapati seolah-olah setiap beliau berpindah rukun terasa susah sekali dan terdengar bunyi yang aneh. Selesai sholat, salah seorang sahabat, Sayyidina Umar bin Khatthab bertanya, “Ya Rasulullah, kami melihat seolah-olah baginda menanggung penderitaan yang amat berat. Sedang sakitkah engkau ya Rasulullah? “Tidak Ya Umar. Alhamdulillah aku sehat dan segar.” Jawab Rasulullah. “Ya Rasulullah, mengapa setiap kali Baginda menggerakkan tubuh, kami mendengar seolah-olah sendi-sendi tubuh baginda saling bergeseran? Kami yakin baginda sedang sakit”. Desak Sayyidina Umar penuh cemas.

Akhirnya, Rasulullah pun mengangkat jubahnya. Para sahabat pun terkejut ketika mendapati perut Rasulullah SAW yang kempis tengah di lilit oleh sehelai kain yang berisi batu kerikil sebagai penahan rasa lapar. Ternyata, batu-batu kerikil itulah yang menimbulkan bunyi aneh setiap kali tubuh Rasulullah SAW bergerak. Para sahabat pun berkata, “Ya Rasulullah, adakah bila baginda menyatakan lapar dan tidak punya makanan, kami tidak akan mendapatkannya untuk tuan?”. Baginda Rasulullah pun menjawab dengan lembut, “Tidak para sahabatku. Aku tahu, apapun akan kalian korbankan demi Rasulmu. Tetapi, apa jawabanku nanti dihadapan Allah, apabila aku sebagai pemimpin, menjadi beban bagi umatnya? Biarlah rasa lapar ini sebagai hadiah dari Allah buatku, agar kelak umatku tak ada yang kelaparan di dunia ini, lebih-lebih di akhirat nanti.

Teramat agung peribadi Rasulullah SAW sehingga para sahabat yang ditanya oleh seorang badui tentang akhlak beliau SAW hanya mampu menangis kerana tidak sanggup untuk menggambarkan betapa mulia akhlak beliau SAW. Beliau diutus tidak lain untuk menyempurnakan akhlak manusia dan sebagai suri tauladan yang baik sepanjang zaman.

Sahabatku, sungguh kehadiran Rasulullah SAW adalah untuk menyempurnakan akhlak manusia segala hal yang beliau contohkan kepada umat manusia. Beliau tidak pernah pandang bulu atau kaum dalam hal menghargai manusia, penuh kasih sayang, tidak pernah mendendam, malahan beliau pernah menangis ketika mengetahui bahwa balasan kekafiran adalah neraka yang menyala-nyala hingga menginginkan umat manusia untuk mengEsakan Allah SWT.

Cukup kiranya beliau yang jadi suri tauladan kita, umat islam khususnya yang hari ini sebahagian sudah sangat jauh dari akhlak Rasulullah, baik dalam tindakan maupun perkataan yang menyejukkan. Apa yang dikatakan oleh seorang sastrawan Pakistan, Muhammad Iqbal dalam salah satu karyanya dapat kita jadikan renungan bersama dimana beliau berkata: “Barangsiapa yang mengaku umat Nabi Muhammad, hendaklah berakhlak seperti beliau (Nabi Muhammad)”.

Dalam salah satu hadits dikatakan bahwa “Belum beriman seseorang sehingga aku (Rasulullah Muhammad SAW) lebih dicintainya daripada ayahnya, anak-anaknya dan seluruh manusia”(HR. Bukhari). Kita tidak tahu apakah nanti akan di akui Rasulullah sebagai umatnya atau tidak kelak di yaumil kiamah. Namun satu yang pasti bahawa semua ingin berada di barisan beliau. Maka, marilah kita sama-sama berusaha untuk mengikuti akhlak beliau SAW semampu diri kita, sebagai suri tauladan kita yang utama, memperbanyak ucapan salawat untuknya, membela sunnahnya, bukan malah membelakanginya (mari berlindung dari hal demikian), sebagai bahagian dari rasa cinta kita terhadapnya.

Sahabatku, mari kita sampaikan salam dan salawat kepada beliau SAW, yang dengannya kita akan beroleh cinta dan Syafa’atnya kelak di yaumil mahsyar.

InsyaAllah…Amin.

"Allahumma sholli ‘alaa sayyidina wa habibina wa mawlana Muhammad wa aalihi wa shohbihi wasallim"

"Ummati…Ummati…Ummati…." begitulah kata-kata terakhir Rasulullah SAW pada detik-detik terakhir sakaratul maut beliau. Begitu cintanya beliau kepada ummatnya, sedangkan kita masih juga melakukan hal-hal yang baginda benci dan larang. Astagfirullah al adzim.

Renunglah akhlak kita semasa ini. Di mana kita untuk mendapat syafaat Nabi SAW? Layak ke kita?

Semoga diri ini, tuan-tuan dan semua ummat semakin baik dan istiqamah sebagai hamba Allah SWT dan ummat Rasulullah SAW yang mulia itu…

Amiiin yaa Rabbal Alamiiin.

Ingat Kematian Pendorong Beramal Soleh



Setiap manusia yang normal memahami bahawa suatu saat dia akan meninggalkan dunia yang fana ini. Sebahagian orang mungkin menganggap bahawa kematian itu sesuatu yang ngeri, tidak menarik malah menakutkan. Namun, walau apapun, setiap manusia pasti akan menempuh kematian. Demikianlah janji Allah s.w.t. Cuma masa dan cara kematian itu sahaja yang berbeza di antara manusia. Firman Allah s.w.t. bermaksud: "Tiap-tiap yang bernyawa itu akan merasakan mati"(Surah Ali Imran : 185).

Mengingati mati bukanlah bertujuan untuk melenyapkan kebahagiaan dan
keseronokan hidup di dunia. Islam mengajarkan agar manusia banyak-banyak mengingati mati dengan harapan menjadi pendorong untuk aktif melakukan perkara kebajikan dan amal salih, kerana mengingat bahawa dunia ini hanyalah tempat persinggahan sementara, sedangkan akhiratlah kehidupan yang sebenar-benarnya lagi berkekalan. Hidup di dunia ini sebenarnya dijadikan Allah sebagai tempat untuk manusia beramal salih, berbakti dan beribadah kepada Allah SWT. Bukankah Rasulullah s.a.w. dalam sabdanya menyatakan yang bahawa dunia merupakan sawah ladang untuk akhirat. Ertinya, dunia sebagai tempat ini mengumpul amalan baik, sedang akhirat adalah tempat memetik hasil dari amalan tersebut. Dalam hadith yang lain, Rasulullah s.a.w. bersabda bermaksud:
"Berbahagialah hidup di dunia bagi orang yang mengumpul kebajikan untuk
bekalan hari akhiratnya, sehingga ia memperolehi ridha Tuhannya. Dan celakalah hidup di dunia bagi orang yang dipengaruhi oleh dunia, sehingga ia terhalang dari (mengerjakan) amalan untuk akhiratnya, dan lalai untuk memperolehi redha Tuhannya"(HR. al-Hakim).

Oleh kerana kematian itu sesuatu yang pasti menemui seseorang dan tidak pula diketahui bila saatnya, maka orang yang selalu ingat mati pasti akan sentiasa bersiap sedia dengan cara bertekun dan terus memperhebatkan usaha melakukan amal salih, kerana amalan baik sahajalah yang akan menjadi penilaian Allah s.w.t. di hari akhirat kelak, dan inilah sebenarnya sifat orang yang cerdik menurut Rasulullah s.a.w., sepertimana sabda baginda bermaksud:
"Orang yang sempurna akalnya (yakni yang cerdik dan pintar) ialah orang yang suka memeriksa (muhasabah) dirinya sendiri di samping banyak beramal sebagai bekalan untuk menghadapi selepas matinya. Adapun orang yang lemah (yakni yang bodoh) pula ialah orang yang selalu mengikut runtunan hawa nafsunya dan ia berangan-angan (yakni mendapat kurniaan Allah tanpa beramal").(HR. Al-Tirmizi, Ahmad dan Ibnu Majah).

Seseorang yang akan menempuh kematian tanpa membekali diri dengan kebajikan dan amal salih, jelas benar-benar memilih kesengsaraan abadi di akhirat. Sebelum merasai azab yang pedih tak terperi di akhirat, seseorang yang derhaka dan banyak berbuat kejahatan di dunia, akan terlebih dahulu menempuh azab yang juga hebat iaitu semasa di alam barzah. Saidina Abu Bakar As-Siddiq berkata :
"Sesiapa yang memasuki kubur (alam barzah) tanpa bekalan (berupa amal salih), seolah-olah ia belayar di lautan tanpa kapal/sampan.

Diceritakan pula bahawa Saidina Uthman bin Affan sering kali menangis di perkuburan. Maka, ada yang bertanya beliau: "Wahai Amirul Mukminin! Mengapa tuan sering menangis ketika di perkuburan?" Jawab beliau: "Kerana saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya, "Kubur adalah merupakan tempat pertama menuju akhirat, kalau seseorang itu sudah lepas dalam persoalan kubur, maka ujian yang selepasnya akan menjadi lebih ringan, tetapi kalau belum lepas, maka yang sesudahnya akan menjadi lebih hebat/dahsyat lagi"(HR. Al-Tirmizi).

Sebahagian ulama' menyatakan bahawa, sesiapa yang banyak mengingati mati, maka ia akan memberi keutamaan kepada tiga perkara iaitu
1. segera bertaubat
2. berhati tenang
3. rajin beribadah.

Tetapi barangsiapa yang melupakan mati, ia akan menderita tiga perkara iaitu
1. menunda-nunda waktu untuk bertaubat (terkadang meninggal tak sempat bertaubat)
2. tidak rela hidup sederhana, dan
3. malas beribadah.

Syaddad bin Aus pula menyatakan bahawa, kematian itu merupakan huru-hara yang terburuk. Sekiranya hidup kita sedang diliputi kemewahan, kita tentu sangat takut kalau hidup kita ditimpa kesusahan dan penderitaan. Tetapi sayang, kita tidak pula pernah rasa takut akan kesusahan dan penderitaan ketika berhadapan dengan sakratul maut. Kita tidak pernah mengenangkan kesakitan sakratul maut yang pasti bakal mendatangi setiap diri. Kita tidak pernah bimbang yang bahawa kalaulah maut yang datang, maka akan habislah segala apa yang kita miliki, segala-galanya akan kita tinggalkan, anak isteri tersayang, harta benda, pangkat dan semuanya. Kita akan pergi dengan tangan kosong, kecuali apa-apa kebajikan dan amal salih yang pernah kita lakukan semasa hidup di dunia. Demikian kata Syaddad.

Oleh itu, marilah kita insafi bahawa kehidupan di dunia ini hanya sementara. Walaupun hebat macam manapun kedudukan seseorang, kematian adalah perkara yang pasti akan ditempuhinya. Segala kelebihan berupa pangkat, harta, kesombongan, darjat dan kekuasaan hanya mengiringi seseorang ke liang lahad. Bekalan kita hanyalah berupa amalan baik yang selama ini kita usahakan.

Sememangnya dunia ini tempat untuk beramal, maka manfaatkanlah masa hidup yang Allah SWT kurniakan untuk berbuat kebajikan sebanyak-banyaknya.

Ingatlah bahawa saat-saat kematian itu amatlah pedih dan mengerikan,
sebagaimana sabda Nabi s.a.w. bermaksud: "Sesungguhnya mati itu adalah amat pedih umpama ditetak dengan pedang beberapa kali atau digergaji ataupun digunting beberapa kali guntingan" (HR. Abu Na'im).

Akhirnya, untuk memanfaatkan usia yang masih ada kearah beramal salih, renungkan selalu pesanan Nabi s.a.w. menerusi sabdanya bermaksud: "Pergunakan (rebutlah) lima keadaan sebelum datang lima keadaan yang lain, iaitu: keadaan mudamu sebelum keadaan tuamu, keadaan sihatmu sebelum datang keadaan sakitmu, keadaan ketika engkau berada sebelum datang keadaan engkau berhajat, keadaan semasa engkau lapang sebelum datang waktu sibuk, dan keadaan semasa engkau masih hidup sebelum datang kematianmu"(HR. At-Turmizi).

* Tersiar di akhbar Berita Harian, Khamis 16 Jun 2005.
0 comments
 
Copyright 2009 Mujahidah Solehah. Powered by Blogger
Blogger Templates created by Templates team
Wordpress by Wpthemescreator