Jumaat, 2 April 2010

Perkongsian: April Fool. Kamu memperbodohkan diri kamu di hadapan Allah


Jangan jadi bodoh. ~ Picture by hellobaby of deviant art

Jangan jadi bodoh. ~ Picture by 'hellobaby of deviant art

1 April. Sinonim dengan sambutan April Fool. Saya masih ingat kala saya sekolah rendah dahulu. Bermain April Fool dengan teman-teman. Kadangkala sehingga waktu bukan 1 April, masih lagi terjerit-jerit April Fool.

Kita rasa seronok memperbodohkan orang lain. Kadangkala kita terlupa bahawa kita memperbodohkan diri kita sendiri. Sudahlah sambutan April Fool bukannya sambutan yang Islam anjurkan, kita merendahkan pula martabat akal kita yang Allah berikan.

Dengan menyambutnya, kita telah memperbodohkan diri kita di hadapan Allah SWT.


April Fool, seruan jahiliyyah

Diwar-warkan bahawa April Fool itu satu medan untuk berukhuwwah. Dikatakan dengan senda gurau itu mampu membuatkan hubungan semakin erat.

Yakah?

Saya tidak mahu menafikan keeratan yang mungkin boleh muncul. Tetapi saya suka kita melihat dasar ukhuwwah yang hendak kita bina. Apakah ukhuwwah yang Allah redha itu dasarnya dibina dengan senda gurau yang digaul dengan penipuan?

Kita lihat suasana April Fool ini hanya akan membawa kepada kerendahan mentaliti. Malah menyeru manusia supaya ada ‘daya balas membalas’. Lebih-lebih lagi kalau gurauan itu dilakukan dalam keadaan ‘berat’ dan ‘melampau’.

Ia akan melahirkan budaya yang tidak sihat.

Paling tidak, sesiapa yang dikenakan itu akan merasa terkejut dan marah. Berbanding bilangan yang akan tersenyum dan ketawa, kita akan melihat bilangan yang menjerit mencarut kemarahan itu lebih ramai.

“Adalah dilarang seorang muslim menakutkan muslim yang lain” Hadith riwayat Abu Dawud dan Musnad Ahmad.

Tambahan, berbohong adalah dari kalangan dosa besar di sisi Islam.

“Celakalah untuk sesiapa yang berbohong untuk membuat untuk membuat orang lain tertawa” Hadith riwayat Abu Dawud.

Di dalam Hadith Sohih Riwayat Bukhari, ada Rasulullah SAW nyatakan siksaan untuk mereka yang berbohong. Boleh Rujuk Sohih Bukhari, Vol 8 hadith bernombor 118.

Inilah dia seruan jahiliyyah yang halus. Tidakkah anda melihat bagaimana manusia menghias jahiliyyah itu seindah-indahnya? Ibarat ‘anthrax’ yang tidak kelihatan tetapi mampu membunuh manusia. April Fool menghakis akhlak dan peribadi. Disalut kononnya merapatkan ukhuwwah mencambah mesra. Tetapi hakikatnya lebih banyak keburukan dari manfaatnya. Lebih buruk lagi, menghitamkan jiwa kita seterusnya menjauhkan diri kita daripada Allah SWT.

Sambutan orang lain. Kenapa kita pula yang berseronok?

April Fool datang daripada perayaan kaum lain. Yang membuatkan saya hairan, orang Islam pula yang terlebih menyambutnya. Di sini kelihatan satu perkara yang tidak sepatutnya berlaku.

Menyambut perayaan kaum lain hakikatnya adalah dilarang. Kita sekadar dibenarkan meraikan sahaja. Meraikan bukan bermaksudnya menyambut. Meraikan yakni menghormati sahaja. Sebab itu memang perayaan mereka. Tetapi bukan bermaksud kita menyambutnya. Itu bukan perayaan kita.

Orang selalu menyebar cerita bahawa April Fool itu dilarang menyambutnya kerana ia adalah hari di mana Kerajaan Islam Sepanyol dijatuhkan. Dijatuhkan dengan tipuan yang licik oleh orang kafir di sana.

Tetapi setelah saya membuat pembacaan, saya dapati cerita itu tidak benar. Hal ini kerana, April Fool wujud 50-100 tahun selepas kejatuhan ummat Islam di Sepanyol. Justeru, saya tidak rasa cerita seperti itu patut disebar-sebar tanpa nas yang kukuh.

Boleh dibaca artikel itu di:

1. http://www.themodernreligion.com/misc/hoax/april-fool.html

2. http://www.answering-islam.org/Hoaxes/aprilfool.html

Iya, saya tidak menolak kemungkinan peristiwa itu berlaku. Tetapi merelasikan April Fool dengan peristiwa itu bukan tindakan yang bijak. Hal ini kerana, ia akan menimbulkan satu budaya ‘paranoid’ di dalam ummat Islam. Adakah kita hendak bertindak sama dengan kaum kafir yang menuduh kita ‘teroris’? Di sini secara tidak langsung kita juga membuat pembohongan.

Kita tidak perlukan sebab seperti peristiwa hitam untuk tidak menyambut perayaan orang agama lain. Kita hanya perlukan sebab: “Allah redha atau tidak” sahaja. Jadi, Rasulullah SAW telah melarang kita menyambut, meniru perbuatan kaum lain, maka itu sahaja sudah cukup menjadi sebab kepada kita meninggalkan perayaan-perayaan mereka.

Tidak perlu kita mereka cerita palsu begitu begini untuk menghalang sambutan tersebut.

Orang beriman tidak berbohong

Rasulullah ada menyatakan bahawa orang beriman itu melakukan dosa seperti zina, mencuri, minum arak. Tetapi, Rasulullah SAW tidak pernah menyebut bahawa orang yang beriman itu berbohong. Sebab itu, barangsiapa yang berbohong bukan dari kalangan mereka yang beriman.

Bohong adalah antara kunci utama kepada kemaksiatan dan kemungkaran.

Tiada kemungkaran dan kemaksiatan yang boleh dijalankan dengan pembohongan.

Ini dibuktikan oleh seorang sahabat Rasulullah, apabila dia ingin bertaubat dari segala dosanya, maka dia bertanya kepada Rasulullah SAW apakah resepi untuk dia kekal istiqomah dalam kebaikannya dan tidak melakukan maksiat? Rasulullah SAW bersabda:

“Jangan kamu berbohong”

Dan bila dia hendak melakukan maksiat dan kemungkaran, dia sentiasa ingat bahawa, dia tidak boleh berbohong untuk menyembunyikan maksiat dan kemungkarannya. Akhirnya dia benar-benar berjaya istiqomah dan meninggalkan perbuatan lamanya.

Bohong adalah ciri orang-orang munafiq. Rasulullah SAW bersabda:

“Tanda munafiq itu tiga perkara: bila berbicara mereka berbohong, bila berjanji mereka mungkir, bila diberikan kepercayaan mereka khianat” Riwayat Bukhari, Muslim, Tirmizi, An-Nasa’ie dan Ahmad Ibn Hanbal.

Dan tempat orang munafiq itu lebih hina dari orang-orang kafir.

Letaknya di neraka paling dalam sekali.

“Sesungguhnya orang munafiq itu berada di lapisan terbawah sekali dari lapisan-lapisan neraka, dan engkau akan melihat bahawa tiada sesiapa yang mampu membantu mereka” Surah An-Nisa’ ayat 145.

Penutup: Bila kita hendak tunduk sepenuhnya kepada Allah?

Sampai bila kita hendak merasa seronok dengan sesuatu yang tidak kena mengena dengan Islam? Sampai bila agaknya kita redha jiwa kita dilumuri jahiliyyah?

Bilakah agaknya hendak tiba waktu kita mengambil Islam dalam bentuknya yang sempurna?

Bilakah agaknya kita hendak menyisihkan karat-karat jahiliyyah dari kehidupan kita?

“Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran (Al-Quran) yang diturunkan (kepada mereka)? Dan janganlah pula mereka menjadi seperti orang-orang yang telah diberikan Kitab sebelum mereka, setelah orang-orang itu melalui masa yang lanjut maka hati mereka menjadi keras, dan banyak di antaranya orang-orang yang fasik - derhaka.” Surah Al-Hadid ayat 16.

Kita kata hendakkan redha Allah SWT, hendakkan syurga-Nya, tetapi kita campurkan perjalanan kita menjadi hamba dengan perkara-perkara yang dibenci oleh-Nya.

Mari sama-sama muhasabah.

Kita tinggalkan segala apa yang Allah tidak redha.

Walaupun perkara itu diredhai seluruh manusia yang lainnya.

Posted in: Tazkirah, semasa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright 2009 Mujahidah Solehah. Powered by Blogger
Blogger Templates created by Templates team
Wordpress by Wpthemescreator